10 May 2015

KLMJ Part 1

Izinkan saya mengenang kembali apa yang pernah saya lalui satu ketika dulu.

Semua ini bermula ketika satu brader yang rapat gila dengan abah datang rumah. Sebenarnya dia masih ada di rumah ketika aku tuliskan ini, dan dia sekarang di dapur menjamah sedikit jamuan yang mak sediakan. Dia datang bertanyakan arah ke Tangkak. Rupanya anak perempuannya apa benda nya nya nya ni. Anak perempuan brader ni dapat sambung belajar dekat matrik Tangkak. JMC. Johore Matriculation College.

2006.
Aku dapat tawaran ke matrik yang sama. Hampir aku tolak sebab masa tu ada kekangan dari segi kewangan. Dan aku tak mahu mak dan abah rasa terbeban. Tapi Tuhan dah aturkan ke situ, maka aku pun terima dengan gembira.

Gembira. Kerana waktu itu aku selalu saja rasa tak keruan. Selalu saja rasa yang tidak enak pada hubungan aku dengan mak abah. Jadi aku mahu pergi. Dan Tuhan mahu ajarkan aku sesuatu, maka memang aku disuruhNya pergi.

Hari mendaftar, macam biasa semuanya memenatkan, panas, bosan, dan tak menggembirakan. Sehinggalah hari menjelang petang. Mak, abah dan kakak mahu pulang. Aku sedikit walang tapi dalam hati girang kerana akhirnya aku rasa aku bebas. Pertama kali hidup sendiri.

Tapi satu perkara aku tak akan pernah lupa pada hari itu. Bila mana, sampai sekarang, aku masih teringat, malah jika aku fikirkan semula apa aku rasa bila aku berdiri seorang diri dan perhatikan kereta abah makin jauh dan menghilang, aku tak akan, tak mahu, dan tak mungkin, berdoa atau meminta untuk pergi jauh dari orang yang aku sayang. Perasaan ditinggalkan, perasaan seorang diri dikelililingi orang yang aku tak kenali. Ketika itu aku rasa macam nak berlari kejar mak abah dah tak mahu mereka pergi.

Perasaan itu tak akan pernah hilang dalam diri aku. Dan terima kasih Tuhan, tunjukkan sesuatu yang takut betul untuk aku hilangkan.

07 May 2015

Tiga Dara Pingitan Part 1

Semua orang ada angan-angan kan. Angan-angan yang sedaya upaya diusahakan untuk jadi kenyataan. Aku tak bercakap tentang kerjaya. Aku borak tentang apa yang kita nak buat dalam hidup untuk kita rasa bahagia.

Masa aku menengah rendah, tingkatan satu atau dua, aku suka menulis dan selalu berangan nak ada buku sendiri. Alhamdulillah, 2011, buku pertama aku, Heroin, keluar. Dan 2013, disusuli dengan Seyogia. Kemudian dengan bantuan rakan-rakan, kami berjaya hasilkan Dabel Date, Koskenkorva dan Disember.

Kemudian ketika aku menengah atas, aku selalu berangan nak bawa motor lalu highway Karak. Dan alhamdulillah, berjaya. Masa 2008-2009, ada beberapa kali aku sempat ulang alik Jengka-Bangi naik motor dengan kawan aku, sebelum motor aku hilang.

Dan aku tersedar kehidupan aku selepas itu dah kurang berangan. Berangan tu banyak. Berangan yang betul-betul nak diusahakan tu yang tak ada. Maka aku terfikirkan sesuatu.

Aku sudah utarakan hal ini kepada dua kawan baik aku sejak beberapa bulan lalu. Dan kali ni aku betul-betul nak buat. Aku nak pusing semenanjung naik motor. Tetapi untuk permulaan, kami akan cuba ke pantai timur saja dulu. Semuanya masih dalam perancangan. Belum duduk minum kopi dan borak dengan lebih tegas. Tapi aku akan pastikan angan-angan ini bukan mat jenin yang punya. Tapi amal yang punya!