25 February 2011



Aku suka untuk baring diam-diam atas katil aku yang dulunya merupakan katil dua tingkat tapi aku minta abah potong jadi katil aku adalah katil setingkat yang tinggi. Tingginya umpama kalau golek-golek jatuh, kau tak mungkin mati, patah tulang ada potensi. Juga bila katil dah tinggi ni, ia sering berkadar terus dengan kemalasan aku. Seringkali bantal jatuh ke bawah, dan aku malas untuk bangun, untuk ambil bantal tu semula. Tunggulah sehingga aku bangun yang betul-betul bangun, baru aku kutip bantal tu. Dan bila aku cakap aku suka baring diam-diam, maksudnya aku memang sangat diam sambil berbaring. Berlapikkan dua lapis tilam lama yang usangnya tak boleh nak jangka, aku cuma masih mahu gunakan tilam ini kerana bila kau baring, kau akan tenggelam dalam pelukannya. Susah untuk bangun. Terus digomol dua bantal peluk yang lebih besar dari aku sendiri, ditindihi si kuning spongebob dan si bulat botak doraemon. Jujurnya setiap malam aku tidur kepuasan, tapi jika aku tidur. Lebihnya aku terlalu nokturnal. Senang membiarkan diri terus ternoda.

Dua biji mata yang tidak coklat, tidak pula lentik bulunya, akan terus membulat. Tanpa kelip, aku akan terus pandang siling bilik aku yang tergabung dari dua warna kontra dan pandangan itu akan terus tembus ke ruang tamu atas sebab bilik aku berada tepat bawah ruang tamu kerana bilik aku adalah bilik bawah tanah. Pandangan itu tadi akan terus meluncur laju ditarik kuat lubang hitam lalu terus pantas mengharungi atap merah rumah aku dan mula menembus atmosfera yang diterajui udara-udara beracun yang tak pernah wangi dari persengketaan, yang tak pernah putih dari tipu daya orang bodoh yang hanya mahukan kertas-kertas yang sentiasa digunakan orang-orang bodoh itu untuk memonopoli orang yang lebih bodoh. Aku pula terus hilang digoda troposfera yang mendingin. Stratosfera yang mendarahkan hidung. Mesosfera terusan mencucuk-cucuk hati dan organ-organ aku yang lain yang mana; jika dijual di pasaran gelap, mampu cecah jutaan ringgit. Aku yakin, kerana terlalu sikit peratus yang aku guna untuk setiap barang dalam badan, terutama otak yang paling tinggi tempatnya. Kerendahan segala jenis tekanan, paksaan, terus aku tersedut ke termosfera yang sudah berjaya meledakkan pembuluh cecair merah yang wangi. Dan aku terus berdesup keluar dari exosfera terapung-apung di angkasa.

Bebas.

Tapi satu pun tak mengubah segalanya. Aku tetap terjeruk dalam lubang hitam yang tidak berada jauh dari bumi. Ia masih dalam diri aku sendiri. Masih tak pernah mahu keluar dan tinggalkan aku keseorangan yang sudah memang aku seorang diri dari dulu sehingga selamanya. Cuma ada Dia.. Jadi aku berharap aku akan dihentam oleh mana-mana meteor supaya aku dapat kembali di bawa balik ke atas katil setingkat aku yang dipotong dari katil dua tingkat yang dilapik dua tilam usang yang terusan mencium dan memelukku langsung membiarkan bantal peluk-bantal peluk, si kuning dan si botak meraba segenap inci tubuh aku yang sebenarnya masih berada dalam bilik di bawah ruang tamu beratapkan bumbung merah yang lurus terus dengan bilik aku.



3 comments:

- koroe - said...

best nye tilam macam tu. teman tido yang paling syok adelah tilam, bantal dan selimut. foursome. haha.


kau kena terima hakikat yang masa berlalu takkan kembali. tapi kita still buleh bengkokkan dimensi masa. hehehe

asip محمد said...

“Sudah sudah lah termenung tu, Amal. Baik tolong mak ni ha.” Mak menegur dari dalam dapur. Dia baru siap masak beberapa lauk. Sudah pukul 11.

Hellioz said...

wake up!
haha~