Dua tiga hari ni aku ada terbaca screenshot conversation antara satu makwe ni dengan kawan dia, atau bakal pakwe, aku tak tahu. Tapi ada benda aku nak sembang pasal tu. Siapa yang ada terbaca, tahulah. Yang tak terjumpa lagi image tu, beginilah aku simpulkan, makwe tu tengah cerita apa plan dia untuk masa hadapan dia, dengan bakal suami.
Ramai yang cakap makwe tu berangan sangat. Well, aku setuju. Dia sanggup untuk bersusah payah dengan bakal suami, tetapi bakal suami itu kena stabil, ada kerja bagus, punya kereta dan juga rumah. Jadi di mana yang susah payah bersama itu aku tak berapa nampak. Dan juga impiannya untuk jadi ibu di usia muda, tetapi lepas berkahwin, mahu honeymoon dengan suami selama setahun, baru nak anak. Tak berapa muda juga rasanya kalau macam gitu. Banyak lagi, tapi ini sajalah yang aku ingat.
Jadi, apa yang aku nak borak?
Begini. Ketika aku baca apa yang makwe tu luahkan, aku ternampak diri aku. Kelakar kan. Tapi itulah kebenaran. Aku pernah berada dalam fasa seperti itu. Aku nak kahwin dengan lelaki yang sudah ada semuanya. Kerja tetap, kereta, dan rumah, walaupun rumah sewa. Aku mahukan lelaki yang stabil, yang ada saving, yang boleh aku bergantung harap kalau apa-apa jadi. Jadi nanti, lepas kawin, aku cuma perlu cuci kaki dan hidup seperti puteri. Dijaga, ditatang, disayang.
Kemudian, aku habis belajar. Aku mula belajar hidup susah dengan gaji tak seberapa. Syukur ketika itu aku duduk dengan keluarga, apa-apa pun masih mengadu dengan mak dan abah. Apa yang kurang, masih mak dan abah ada.
Kemudian, aku semakin tua. Duduk rumah sewa sendiri, apa semua pun belajar guna duit sendiri. Perit. Semakin banyak terlihat apa yang ada di depan, semakin jelas realiti pahit yang terhidang untuk ditelan. Dan perlahan-lahan, apa yang aku impikan tu, aku cuba padam. Mungkin diri sendiri merasa susah macam mana nak cari kerja, macam mana nak gunakan duit yang ada, jadi aku tersedar sendiri. Bagaimana kalau aku lelaki? Nak cari duit untuk ada harta sendiri, untuk bahagiakan orang yang aku kasihi. Dan kepayahan yang orang lain rasa buat aku berhenti untuk bermimpi. Mimpi yang pada aku cukup membahagiakan, tapi dalam tak sedar, aku menyusahkan orang yang aku sayang.
Sekarang pun, aku masih lagi hilang arah. Masih lagi tak ketemu apa yang aku cari. Dan sejujurnya, aku tak tahu apa yang aku cari. Maka sampai sekarang tak aku temui. Cuma, aku kena terus berjalan. Manalah tahu, tersepak kebahagiaan. Kan?
4 comments:
hai. lama tak singgah sini. biasa aku cuma silent reader dan kadang gatal tangan mahu meninggalkan komen.
untuk post yang ini, aku cuma mahu berkongsi sedikit pengalaman cetek aku yang baru sahaja bernikah 69 hari.
di umur 27 tahun, aku semakin lali dengan pertanyaan bila nak nikah? bila nak nikah? dan syukur, akhirnya Allah makbulkan doa yang aku panjatkan saban hari tanpa henti. aku tak minta lebih, cuma jodoh yang hatinya dekat dengan Tuhan, yang taat kepada ibu bapanya. rupa, harta, aku tolak ke tepi.
aku tak tahu nak cakap macammana, Allah berikan aku seorang lelaki seperti itu. dia takde rupa, kerja biasa biasa. tapi alhamdulillah, agamanya ada dan dia sangat baik terhadap ibunya. aku tak kenal dia, sebab guna orang tengah.
mungkin begitulah cerita aku tersepak kebahagiaan. mengenal seseorang yang baru sebagai teman hidup tidaklah mudah tapi cukuplah merasa keberkahan dari Tuhan dengan hal hal yang selainnya.
aku rasa cukup, dengan doa kita yang sungguh sungguh dan bagaimana cara kita yang sungguh sungguh mahu menjadi yang terbaik untuk bakal teman hidup kita yang kita tak tahu pun siapa dia.
oh maaf, terpanjang komennya. bercerita dengan seorang stranger adalah satu kebahagiaan, kadangnya. :)
moga nanti kau pun akan tersepak kebahagiaan yang kau cari. chill.
like ur writing . hehe
Entoh bila kali terakhir ziarah sini. Dan ya, masih juga penuh dengan post yang langsung tak menghampakan .
'Tersepak kebahagiaan' eh ?
terasa..*sigh**
Post a Comment